• DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDINDR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
 1 / 1 
SHAH ALAM – Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines System (MAS) sekali lagi ditegur agar menghentikan penyediaan arak di dalam pesawat.

Teguran itu dibuat Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Asri Zainul Abidin melalui kemas kini status Facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga bekas Mufti Perlis membangkitkan persoalan-persoalan tentang cadangan memberhentikan penjualan arak dalam pesawat yang sudah lama dibangkitkan.

“Banyak keputusan yang kerajaan kita buat yang kadang-kala merugikan negara berpuluh dan beratus juta (ringgit).

“Walaupun keputusan sebegitu dibuat atas alasan tertentu. Tidak bolehkah, sejak sekian lama rungutan dan cadangan agar kerajaan menamatkan perkhidmatan arak dalam MAS dilaksanakan?,” tulisnya.

Beliau mengulang kembali cadangan ini selepas meyuarakannya ketika insiden MH370, Mac lalu.

“Berapa kerat manusia yang tidak mahu naik kapal terbang kerana tiada arak? Berapa kerat manusia yang tidak boleh ‘travel’ jika tidak dalam keadaan 'tipsy'?

“Masa MH370 saya telah cadangkan hal ini. Ini MH17, saya mohon cadangkan kepada kerajaan sekali lagi. Hentikan arak dalam MAS moga kita dirahmati ALLAH,” katanya.