• Normazainy (kanan) memberi penerangan mengenai jenis dadah kepada masyarakat pada Majlis Sambutan Ihya Ramadan di Masjid Mukim Telaga Papan, kelmarin.Normazainy (kanan) memberi penerangan mengenai jenis dadah kepada masyarakat pada Majlis Sambutan Ihya Ramadan di Masjid Mukim Telaga Papan, kelmarin.
 1 / 1 
PASIR PUTEH - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh mengadakan program secara berterusan bagi membolehkan ibu bapa mengenali jenis dadah dan kelakuan penagihnya.

Ketua pegawainya, Normazainy Mat Roni berkata, ibu bapa perlu mengetahui jenis dadah atau pil khayal supaya mereka tidak terkeliru dengan menganggapnya sebagai ubatan biasa apabila melihat anak-anak memilikinya.

Katanya, ibu bapa akan terus tertipu jika langsung tidak mengenali jenis dadah sedangkan ia sentiasa berada dalam simpanan anak mereka sendiri.

“Selain mengenali jenis dadah, kita juga memberi penerangan kepada ibu bapa supaya mereka mengenali kelakuan seorang penagih seperti bertindak agresif pada masa yang tidak bersesuaian dan tidak tidur malam.

“Jika ibu bapa mengetahuinya bahawa kelakuan itu berpunca daripada dadah, mereka boleh segera menghubungi AADK bagi membolehkan pencegahan awal dilakukan," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ihya Ramadan anjuran AADK di Masjid Mukim Telaga Papan di sini, kelmarin.

Antara aktiviti yang diadakan pada program yang dirasmikan imam masjid berkenaan, Ismail Yaakob itu adalah pameran AADK, kaunter aduan dan pertanyaan, tazkirah Ramadan dan berbuka puasa.

Normazainy berkata, selain mengesan penagih menerusi sekatan jalan raya dalam Ops Bersepadu bersama agensi lain, AADK turut membuat tangkapan berdasarkan aduan.

“Saya berharap ibu bapa tidak menyembunyikan anak-anak yang menjadi penagih dadah. Hadirlah ke pejabat AADK untuk membuat aduan supaya kita dapat membuat tindakan lanjut.

“Berilah kerjasama kepada kami kerana kami berusaha membantu membebaskan pengaruh dadah dalam kalangan masyarakat khususnya golongan generasi muda menerusi kaedah penjagaan, pencegahan dan pengawasan," katanya.