Isnin, 19 Januari 2015

SEMARAK SEMULA BATIK SARUNG.

Semarak semula batik sarung

Susunan Suliati Asri 

suliati@hmetro.com.my

Setiap kali berbicara mengenai batik atau sarung, selalunya kita akan terbayang penggunaan kain batik sarung dalam kalangan orang lama di kampung. Orang muda jarang memakainya, melainkan ketika berpantang.
Hakikatnya, kain batik sarung mempunyai nilai tinggi dan cukup mempesonakan kepada si pemakai. Malah, ia boleh digayakan dalam pelbagai cara yang cukup menarik termasuk dibuat baju.
Menyedari warisan budaya bangsa itu perlu dimartabat­kan, Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan Pameran Batik Sarung, Warisan Kini dan Selamanya di Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur, selama tiga bulan berakhir 30 Mac depan.
Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail berkata, objektif pameran itu diadakan adalah untuk menyemarakkan penggunaan tekstil tempatan khususnya batik sarung.
Menurutnya, pameran itu juga satu langkah untuk me­ngangkat kembali kedudukannya sebagai khazanah budaya negara agar terus terpelihara, sekali gus mendapat tempat sewajarnya.
"Menerusi pameran ini, konsep penceritaan yang tersirat dan tersurat di sebalik batik sarung Malaysia digunakan bagi memberi pemahaman kepada pengunjung.
"Pelbagai kupasan juga dilakukan dengan bukti kesan budaya dan bukti pengumpulan koleksi batik sarung yang dipaparkan sepanjang pameran ini," katanya.
Katanya, pameran itu satu cabaran bagi Muzium Tekstil Negara memupuk golongan generasi Y untuk kembali meneruskan adat dan budaya pemakaian batik sarung demi masa hadapan supaya warisan berkenaan kekal selama-lamanya.
Meninjau ruang pameran di Muzium Tekstil Negara itu, pengunjung bukan saja berpeluang menghayati hasil seni batik sarung dari pelbagai aspek, malah mengikuti sejarah perkembangannya.
Ia bermula dengan definisi dan sejarah perkemba­ngan di Malaysia sehinggalah membentuk lambang identiti, bentuk dan fungsinya dalam pelbagai lapisan masyarakat dan sosial budaya.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang melihat sendiri batik sarung persis kapsul masa bermula pada 1920-an yang membawa kewujudan batik sarung Malaysia iaitu batik kotak, batik Kedah dan pareo.
Bagi pameran ini, lebih 60 koleksi batik sarung dipamerkan, antaranya baju, pareo, skaf, hiasan dinding, bengkung, alas meja dan skirt labuh yang membabitkan koleksi Jabatan Muzium Malaysia serta koleksi perseorangan iaitu Raja Fuziah, Prof Madya Mohamad Najib Mohd Nor dan Puan Wairah Marzuki.
Turut diadakan gerai jualan, demonstrasi batik blok, pembuatan blok batik dan pemakaian sarung, diikuti senaman tari berbatik sarung serta berjalan berbatik sarung.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:01 AM
PELANCONG dari England tertarik dengan keunikan batik kapas dipamerkan di Muzium Tekstil Negara.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23851#sthash.BvYQNLpI.dpuf






Tiada ulasan:

Catat Ulasan