KUALA LUMPUR, 11 Januari:
Aksi berpelukan dan bercium di hadapan khalayak ramai oleh gadis-gadis Melayu bersama bintang K-pop pujaan mereka pada sebuah konsert di ibu negara petang semalam mendapat kecaman dan kritikan pedas daripada pelbagai pihak.
Perbuatan tersebut diketahui umum selepas satu satu klip video yang berdurasi selama 3 minit 21 saat menunjukkan beberapa orang gadis Melayu bertudung lingkungan 20-an merelakan diri mereka dipeluk dan dicium di atas pentas.
Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata tindakan segelintir anak gadis tersebut telah menunjukkan betapa rapuhnya iman dan juga jati diri Melayu dan Islam dalam diri mereka.
Jelasnya, pemahaman dan juga sifat malu dalam diri mereka seolah-olah telah terhakis maka dengan itu tanpa segan silu untuk melakukan perbuatan tersebut tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
“Amat menyedihkan apabila bukan seorang tetapi ramai anak-anak gadis Melayu bertudung yang naik ke pentas dan ia menggambarkan bahawa dengan memakai tudung tidak lagi menjadi penghalang untuk terlibat dengan program sedemikian.
“Oleh itu, ia membuka mata kepada semua pihak untuk berusaha lebih keras dalam membuat gerak kerja dakwah dalam kalangan generasi muda bagi mengelakkan ia berulang pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini.
Bagi Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata akibat terlalu taksub dan fanatik terhadap penyanyi dan kumpulan K-Pop berkenaan telah menyebabkan gadis-gadis berkenaan hilang pertimbangan akal yang waras.
Katanya, perasaan yang terlalu teruja membuatkan mereka sudah tidak menghiraukan lagi tatasusila dan juga adab-adab sebagai seorang Melayu Islam.
“Jadi apabila terlalu fanatik dengan budaya dan muzik luar maka segala perbuatan dan tindakan yang dibawa ke Malaysia juga sudah dianggap normal.
“Dengan ini mereka sudah tidak boleh membezakan yang man yang baik dan mengikut keperluan budaya dan agama dan yang bertentangan sekaligus menyebabkan berlakunya perkara-perkara seperti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha meminta agar semua pihak memainkan peranan dan tidak menunding jari antara satu sama lain dalam menangani masalah seperti ini.
Kata beliau, pihak berkuasa perlu memperbanyakkan program yang membawa rakyat kepada kebaikan dan menutup jalan-jalan kepada kemaksiatan dan kemungkaran dan masyarakat perlu menegur perkara yang salah dan memuji serta menggalakkan perkara yang baik.
“Keluarga harus mengajar serta membimbing anak-anak kepada kebaikan dan menjauhi perkara yang dilarang dan sebagai individu mereka harus memahami apa yang dikatakan akhlak muslim, pergaulan, aurat serta sentiasa mendalami ilmu bagaimana menjadi muslim sebenar.
“Konsert yang menjaga batas-batas syarak perlu diteruskan kerana hiburan adalah dibenarkan namun para promoter harus menjadi penganjur yang bertanggungjawab yang bersama-sama membangunkan anak bangsa yang mempunyai nilai diri dan kehidupan yang tinggi serta jangan runtuhkan maruah dan tamadun bangsa Malaysia,” tegasnya.