Isnin, 19 Januari 2015

BAJU KURUNG MILIK ORANG MALAYSIA.

Pentadbiran sekolah jangan keterlaluan, baju kurung milik orang Malaysia - Nik Safiah





KUALA LUMPUR: Pentadbiran sekolah dinasihatkan supaya menghormati tata pakaian seragam pelajar yang sudah ditetapkan dan tidak sekali-kali membezakannya mengikut agama atau bangsa tertentu.

BACA: Pelajar Perempuan Bukan Melayu Berbaju Kurung Tidak Dibenarkan Masuk kelas

Budayawan dan tokoh sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, umum juga kini sedia tahu baju kurung melambangkan bangsa Melayu dan satu kebanggaan jika ia dipakai oleh pelajar berbangsa lain di sekolah, institusi pengajian tinggi atau semasa bekerja.

"Sepatutnya tidak ada apa-apa, tidak ada salahnya jika pelajar perempuan berbangsa selain Melayu memakai baju kurung terutama ke sekolah.

"Memang keterlaluan jika benar laporan ada pentadbiran sekolah yang menghalang pelajar bukan Melayu memakai baju itu ke sekolah," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dr. Nik Safiah mengulas laporan seorang bapa, Lawrence Jayaraj di sebuah portal yang mendakwa anak perempuannya dihalang daripada memasuki kelas atas alasan melanggar etika pakaian di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Cheras.

Lawrence berkata, anaknya yang baru bertukar daripada sekolah lain itu dihalang daripada memasuki kelas kerana memakai baju kurung.

Menurutnya, pihak sekolah terbabit menyatakan bahawa hanya pelajar Melayu sahaja dibenarkan memakai baju kurung manakala bagi bukan Melayu tidak dibenarkan.

Dalam pada itu kata Dr. Nik Safiah, pemakai baju kurung juga dilihat melambangkan jiwa negara dan sekali gus membawa semangat cintakan bangsa.

"Cuma pantangnya jangan buat perangai yang tidak elok jika memakai baju kurung. Ia akan membawa sekali nama bangsa Melayu di atas setiap tingkah laku pemakainya.

"Tidak ada pihak harus berasa malu dengan memakai baju kurung, sekolah atau mana-mana institusi seharusnya tidak menyempitkan fikiran dengan persepsi baju kurung hanya untuk dipakai oleh orang Melayu," jelasnya.

Baju kurung ialah pakaian tradisional untuk wanita Melayu dan menjadi pakaian rasmi untuk Malaysia dan Brunei selain boleh didapati di Indonesia, Singapura dan Thailand.

Sementara itu, memetik laporan sebuah portal, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan menjelaskan akan 'turun' sendiri ke sekolah berkenaan seandainya laporan mengenai isu itu tidak dapat diselesaikan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Tegasnya, terdapat 10,000 buah sekolah di bawah seliaan Kementerian Pelajaran di seluruh negara dan berkemungkinan ada pengetua yang membuat polisi tanpa mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.- Astro Awani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan