• Amr Muhammad Sayed SalamAmr Muhammad Sayed Salam
 1 / 1 
ALOR SETAR - Pertambahan penganut Syiah mula berkembang dalam kalangan umat Islam khususnya di Malaysia dan merupakan ancaman terbesar akidah masyarakat jika tidak dibendung lebih awal.

Berikutan itu, semua pihak wajar berganding bahu memerangi penularannya, bukan hanya tanggungjawab ulama dan pendakwah.

Pensyarah Kuliyyah Usuluddin, Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Dr Amr Muhammad Sayed Salam berkata, mereka yang terlibat dalam bidang dakwah, pendidikan termasuk gerakan Islam perlu bersatu mengatasi masalah ini dengan mengadakan sesi penerangan berterusan.

“Sentiasa ingatkan masyarakat bahawa ajaran itu bercanggah dengan akidah Islam. Berdasarkan kajian, antara aktiviti yang diatur golongan itu di Malaysia ialah menakluki seluruh Malaysia serta mengajak rakyat bertukar kepada Syiah, ini termasuk dakwaan taqorub (bersatu Syiah dan Ahli Sunnah), yang membahayakan dan merupakan ancaman kepada negara,” katanya yang membuat kajian Syiah dan ajarannya, menerusi kertas kerja bertajuk ‘Cara-cara Mengatasi Penambahan Penganut Syiah di Malaysia’.

Menurutnya, hasrat golongan itu tidak akan tercapai jika semua pihak seperti pendidikan, pengiklanan, kerajaan dan jaminan keselamatan bersatu.

“Ini kerana mereka mendapat pembiayaan luar untuk sebarkan mazhab-mazhab yang beri kesan kepada penyatuan ummah. Media massa juga diingatkan tidak menyebar atau mempromosi pandangan Syiah dan hanya tumpu pada pendapat ulama Ahli Sunnah,” katanya.

Dr Amr Muhammad berkata, rakyat negara ini wajar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Iraq, Syria, Yaman dan Lubnan, di mana berlaku percanggahan antara dua pihak sehingga berlaku pertumpahan darah.

“Malaysia mempunyai pengaruh tasawuf, oleh itu tumpuan juga perlu diberikan pada aspek ini supaya tidak membuka peluang kepada Syiah berkembang dalam kalangan pelajar melalui tasawuf (sejarah, sukatan pelajaran di sekolah),” katanya.

Beliau turut mencadangkan ulama dan pendakwah di Malaysia bersatu dan ketepikan perbezaan fahaman sama ada politik mahupun pendirian antara mereka, untuk menyekat pertambahan penganut Syiah di Malaysia.

“Adakan lebih banyak wacana ilmu antara ulama untuk menyatakan pendapat, antaranya muktamar dakwah tahunan untuk bincang isu-isu semasa berkaitan agama termasuk perkara baharu yang berlaku dengan berpandukan syarak,” katanya.

Dr Amr Muhammad turut mencadangkan kerajaan negeri dan pusat mengadakan lebih banyak perjumpaan dengan masyarakat melibatkan penyertaan ulama untuk eratkan kerjasama dan menjalin hubungan baik.

“Wujudkan unit khas atas nama gerakan Malaysia untuk membela sahabat Nabi Muhammad SAW selain memberi peringatan kepada masyarakat tentang kedudukan mereka di sisi Nabi.

Perbanyakan kursus-kursus ilmiah dengan menyatakan bahaya Syiah serta menterjemah kitab-kitab berkaitan bahaya Syiah ke dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan diedarkan secara percuma sebagai rujukan,” katanya.

Menurutnya, kumpulan-kumpulan dakwah perlu ditempatkan di serata kawasan untuk menyebarkan ajaran Islam sebenar selain menerangkan bahaya Syiah.