Selasa, 22 April 2014

ABIM MINTA DR.MAHATHIR TARIK KENYATAAN DAN BERTAUBAT.

Anda di sini: Laman Utama | Nasional »

ABIM minta Dr. Mahathir tarik kenyataan dan bertaubat

email
comments
ABIM minta Dr. Mahathir tarik kenyataan dan bertaubat
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan dan meminta bekas Perdana Menteri itu menarik balik kenyataannya dan bertaubat.

"Tun Mahathir selaku salah seorang pemimpin dunia Islam yang disegani, sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan dalam hal yang berkaitan dengan perundangan syariah," kata Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada kenyataan Dr. Mahathir yang disiarkan oleh media termasuk Astro AWANI pada 17 April lalu.

Dalam kenyataan bekas Perdana Menteri itu meminta kerajaan negeri Kelantan mengkaji semula hasratnya mahu melaksanakan undang-undang jenayah syariah hudud dan qisas di negeri itu dengan memberikan penekanan kepada aspek keadilan.

Beliau menyifatkan hudud dan qisas yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan PAS itu lebih memberi penekanan kepada bentuk hukuman dan bukannya keadilan.

 


Laporan lain berkaitan isu hudud

Dr. Mahathir memberikan contoh kemusykilan hukuman yang berbeza ke atas orang Islam yang mencuri yang dikenakan hukuman potong tangan sedangkan orang bukan Islam yang melakukan kesalahan yang sama hanya dikenakan hukuman penjara.

"Adil atau tidak?" tanya Dr. Mahathir.

Menurut Amidi, kenyataan bekas Perdana Menteri itu boleh menimbulkan kekeliruan "seolah-olah mahu menggambarkan bahawa hukum Islam adalah berat, tidak munasabah dan terlalu kejam".

Jelas beliau, beban pembuktikan di bawah peruntukan hudud adalah jauh lebih tinggi berbanding undang-undang jenayah sivil bagi menjadi hak tertuduh dan menjadi amaran serta pendidikan kepada masyarakat.

"Keindahan hukum Islam terletak kepada proses perbicaraan, pembuktian dan urus tadbirnya," tambahnya.

ABIM berpendapat kenyataan Dr. Mahathir yang menumpukan kepada hukuman boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap hukum hudud.

Badan itu juga berpandangan penentangan terhadap usaha kerajaan negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud dan qisas oleh pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mungkin berpunca daripada kenyataan beliau itu.

Langkah kerajaan negeri Kelantan itu adalah sebagai menyahut keterbukaan yang disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa kerajaan Persekutuan sedia menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan hudud dan qisas.

Rang undang-undang persendirian itu dijangka akan dibawa ke Dewan Rakyat pada Jun ini.

Jawatankuasa teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan sebelum itu dijangka akan memberi penerangan dan taklimat kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik yang mereka anggotai berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam reaksinya sebelum ini berkata pendirian DAP berhubung pelaksanaan hudud tidak berubah dan beliau tidak mahu hasrat kerajaan negeri Kelantan itu dieksploitasi oleh Barisan Nasional.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menegaskan parti Islam itu tetap akan melaksanakan undang-undang hudud sekalipun ditentang oleh rakannya dalam Pakatan Rakyat kerana ia "tidak ada perjanjian dengan DAP dan PKR" untuk tidak melaksanakan undang-undang jenayah Islam itu.

Undang-undang jenayah Islam itu juga katanya, telah ada dalam perjuangan PAS lama sebelum pakatan politik tiga parti itu terbentuk.

Berita mula diterbitkan pada: April 22, 2014 14:17 (MYT)
Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Go http://onthego.astro.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan