•  Tan Sri Abdul Aziz RahmanTan Sri Abdul Aziz Rahman
 1 / 1 
 KUALA LUMPUR - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) hari ini meminta kerajaan mengkaji semula akta sedia ada berhubung kawalan terhadap laman sosial.
Merujuk kepada isu Red Bean Army (RBA) yang didakwa sebagai kumpulan tentera siber pro-pembangkang, Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata undang-undang siber yang baharu dan lebih ketat perlu diwujudkan sebagai langkah membanteras kegiatan yang menjurus kepada kenyataan berbaur hasutan.

"RBA ini perlu diawasi dengan perundangan baharu yang lebih ketat. Kalau boleh hukuman yang lebih berat seperti penjara terhadap sesiapa yang memainkan isu sensitiviti seperti agama, maruah negara dan perpaduan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Mubarak, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang juga Ketua Penerangan Mubarak.
Abdul Aziz berkata kebebasan tanpa sempadan boleh memudaratkan keamanan dan ketenteraman negara.
Dalam pada itu, beliau berkata Mubarak melahirkan rasa kesal dengan media siber yang sering melemparkan tohmahan melampau terhadap usaha kerajaan mencari dan menyelamat pesawat MAS MH370.
Abdul Aziz berkata media siber yang tidak bertanggungjawab itu dilihat sengaja memutarbelitkan cerita sebenar berhubung insiden kehilangan pesawat itu pada 8 Mac lepas.
"Kami (Mubarak) sedih dengan tragedi ini dan usaha kerajaan dalam operasi mencari dan menyelamat diputar belitkan oleh media tempatan yang tidak bertanggungjawab terutama media siber," katanya.
Mereka ini sengaja memutar belit keadaan ini bagi mencari simpati orang ramai khususnya golongan muda dan memburukkan imej negara sekaligus dapat menggugat persahabatan dan hubungan diplomatik antara China dengan Malaysia, katanya.
Katanya tindakan memutar belit berita, seolah-olah memperkecilkan usaha kerajaan yang telah diiktiraf dan dihargai oleh 26 negara yang terlibat sama dalam misi mencari dan menyelamat MH370.
"Negara China, Amerika dan Australia pun terlibat dalam misi mencari ini kenapa masih kata tidak menepati sebagai kerajaan bertanggungjawab? Tidak mungkin negara ini akan dapat bantuan daripada negara-negara besar ini sekiranya tidak bertanggungjawab?," soal Abdul Aziz.
  Abdul Aziz menggesa masyarakat, khususnya golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan, sebaliknya perlu bijaksana menapis maklumat yang diterima bagi mengelak membuat tuduhan melulu terhadap kerajaan.   - Bernama