Ahad, 13 April 2014

3 MAUT NAHAS BAS EKSPRES DI KM 11 ,RAUB ,BENTONG,PAHANG.

3 maut nahas bas ekspres

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
Penumpang bas yang terselamat dan cedera menunggu bantuan di tepi jalan selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di KM11 Jalan Bentong-Raub dekat Bilut , Pahang, awal pagi semalam.
BENTONG 12 April - Tiga penumpang termasuk sepasang suami isteri maut manakala 10 lagi cedera parah selepas bas ekspres dua tingkat yang dinaiki terbabas dan terbalik di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub, di sini tengah malam tadi.
Mangsa yang maut ialah Suhaisam Che Abdulla, 33, dan pasa­ngan suami isteri, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, yang juga warga Somalia dan isterinya, Zarifah Alias, 26.
Zarifah berasal dari Salor, Kota Bharu, Kelantan, manakala Suhaisam dari Batang Kali, Selangor.
Mereka yang cedera pula ialah Siti Nabila Mohd. Nasir, 23; Tuan Rosnani Tuan Mohd. Din, 22; Wan Muhammad Husin Abdullah, 54; Faizah Abdullah, 79; Wan Khairul Affendi Mustafa, 35; Ruwaidi Jusuh, 35; Nur Sazren Fazhera Mohd. Shanif, 20; Norzamera Abd. Manaf, 24; Low Wan Yi, 23, dan seorang warga Thailand, Mamalutfee.
Mangsa yang maut dipercayai duduk di tingkat atas bas.
Mangsa yang terselamat dibawa keluar melalui cermin hadapan bas yang pecah serta melalui lubang a­ngin di bahagian bumbung.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, nahas pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika bas yang membawa 68 penumpang tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
“Berdasarkan siasatan awal, semasa melalui tempat kejadian, bas itu dipercayai memotong beberapa kenderaan di laluan menghala ke Kota Bharu lalu hilang kawalan di selekoh.
“Ia kemudian terlanggar tiang elektrik di sebelah kanan jalan sebelum terbalik sehingga terseret ke laluan kiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.
Katanya, mangsa yang cedera pula termasuk pemandu bas ber­kenaan yang patah kaki kanan, dirawat di Hospital Bentong manakala dua lagi dibawa ke Hospital Temerloh dan Hospital Kuala Lumpur.
“Selebihnya iaitu seramai 55 orang penumpang mendapat rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis masih lagi giat melakukan siasatan.
Katanya, berdasarkan siasatan, lokasi kejadian merupakan satu lorong dua hala menuruni bukit dan berselekoh serta semasa kejadian cuaca gelap manakala jalan pula kering.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140413/dn_11/3-maut-nahas-bas-ekspres#ixzz2ymNEn3Ac
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan