• Tan Sri Musa Hassan Tan Sri Musa Hassan
 1 / 1 
KAJANG - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menasihati pengundi Kajang agar membuat keputusan dengan rasional dalam memilih wakil rakyat mereka hari ini.
Menurutnya, masyarakat di Kajang perlu bersatu padu dan tidak perlu menimbulkan sebarang bentuk tindakan yang boleh menggugat keamanan sepanjang proses pilihan raya ini.

“Saya harap semua pengundi rasional dalam menentukan masa depan mereka. Pada masa yang sama tidak membangkitkan isu-isu yang boleh meretakkan perpaduan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Konvoi Sukarelawan
Keamanan dan Keselamatan bersama Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia di Kajang, semalam.

Musa berkata, pengundi mempunyai hak untuk memilih calon yang akan mewakili mereka di sidang Dun, namun berharap perjalanan pengundian pilihan raya berjalan lancar.

Mengenai isu kehilangan pesawat MH370, Musa berkata, beliau mengharapkan rakyat Malaysia terus berdoa keselamatan penumpang pesawat tersebut dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

Menurutnya, sebarang spekulasi yang belum benar kesahihannya akan mengguris hati keluarga penumpang dan krew MH370 kerana negara masih mengharapkan kesemuanya berada dalam keadaan selamat.

“Saya menyeru rakyat Malaysia terus berdoa dan pada masa sama mempercayai Qada' dan Qadar,” katanya.