Sabtu, 9 Ogos 2014

KETERANGAN WANITA DITAHAN DAPAT MEMBANTU SIASATAN.


BALIK PULAU – Polis percaya keterangan daripada seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung pesta sukan bogel yang didakwa diadakan di Pantai Teluk Kampi dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang, di sini dapat memberi beberapa petunjuk baharu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata wanita berusia 34 tahun itu yang merupakan guru muzik di sebuah pusat muzik di negeri ini ditahan di rumahnya di Bayan Lepas, di sini pada Khamis malam dan dia telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

“Saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Pesta itu mula diperkatakan apabila video berdurasi lima minit 52 saat bertajuk ‘Pesta Bogel di Teluk Bahang, Penang’ tersebar secara meluas di laman sosial, yang memaparkan sembilan lelaki dan enam wanita melukis badan dalam keadaan bogel, menari serta mengadakan acara sukan di Pantai Teluk Kampi.

Ditanya sama ada wanita yang belum berkahwin dan tinggal bersama bapanya di Bayan Lepas itu akan didakwa, beliau berkata ia bergantung kepada siasatan yang dijalankan.

Lai berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan iaitu kesopanan di tempat awam yang membawa hukuman penjara maksimuma tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka yang terlibat juga boleh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama 15 peserta termasuk tujuh individu tempatan yang terlibat dalam pesta berkenaan agar tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes itu ASP Mohd Sani Mat Ali di talian 012-5424455 bagi membantu siasatan kes.

Semalam dalam sidang akhbar, polis mengedarkan 12 daripada 15 gambar individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes berkenaan. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan