Khamis, 25 Disember 2014

SEMUGA DOA DITERIMA ALLAH .

Semoga doa diterima Allah

Putrajaya: Jabatan Agama Islam negeri (JAIN) diminta mengadakan solat hajat dan munajat secara berterusan di masjid dan surau di bawah pentadbiran masing-masing untuk mendoakan supaya banjir yang melanda beberapa negeri di pantai timur, Perak dan Perlis surut dan reda dengan segera.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, JAKIM melalui masjid di bawah kendaliannya akan mengadakan solat hajat berkenaan di Masjid Negara, Kuala Lumpur; Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya dan seluruh masjid serta surau di Wilayah Persekutuan.
“Saya juga menyeru supaya solat hajat dan munajat yang diadakan ini turut membabitkan alim ulama, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat negara ini bagi mendoakan keselamatan diri dan harta benda, kesihatan yang baik, keteguhan iman dan diberikan kekuatan kepada mereka yang terbabit untuk menghadapi ujian dalam musim tengkujuh ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Pada masa sama, Othman berkata, masjid di bawah pentadbiran JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan melancarkan Kutipan Derma Khas Masjid bagi mangsa banjir.
Katanya, kutipan sumbangan akan diadakan Jumaat ini (esok) dan ia boleh disalurkan kepada Unit Bantuan Musibah dan Bencana, Bahagian Dakwah JAKIM untuk disampaikan kepada mereka yang berkenaan.
“Kami turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di negeri berkenaan. Semoga usaha dan doa kita ini akan diterima Allah,” katanya.
Permintaan sama disuarakan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang mahu rakyat berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.
“Kita minta semua rakyat, dalam hadapi banjir luar biasa ini supaya pertamanya, berdoa dan bermunajat kepada Allah untuk mudahkan urusan selamatkan semua mangsa.
“Inilah perkara pertama yang perlu dibuat semua pihak kerana banjir kali ini amat luar biasa, air naik dengan cepat dan kawasan paling kritikal adalah Kuala Krai,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di Kota Bharu, semalam.
Ahmad berkata, beliau akan pastikan bekalan makanan kepada mangsa banjir, terutama di pusat pemindahan sementara mencukupi dan menyediakan peruntukan khas yang termampu untuk menampung keperluan itu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:08 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18914#sthash.eidgKwwM.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan