• Raih johan tilawah kebangsaanPemenang qari dan qariah Tilawah Al-Quran bergambar bersama Tengku Abdullah (tiga, kanan), Adnan (tengah) dan Jamil Khir (dua kanan) malam tadi.
 1 / 1 
KUANTAN - Qari dari Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali, 29, dan penyandang johan qariah tahun lalu dari Pahang, Hanimzah Jalaluddin, 32, dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-57 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah, dekat sini, malam tadi.

Pemenang, masing-masing membawa pulang sebuah kereta Proton Preve tajaan Tabung Haji selain wang tunai RM15,000 serta piala pusingan dan iringan, sijil penyertaan dan pakej menunaikan ibadat haji.

Ahmad Tirmizi yang memperdengarkan  bacaan surah al-Imran’ ayat 177 memperoleh 91.67 peratus, manakala Hanimzah yang memperdengarkan bacaan surah al-Israq pula memperoleh 88.67 peratus.

Mereka akan mewakili negara pada Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur bermula 16 hingga 21 Jun ini.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam pada itu, johan keseluruhan dengan memperoleh 85.17 peratus pula dimenangi negeri Terengganu.

Majlis tilawah tahun ini yang bertemakan ‘Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ menyaksikan 30 peserta iaitu 14 qari dan 14 qariah serta dua johan pada edisi sebelumnya.