Sabtu, 10 Mei 2014

TIP MELANCONG MENAIKI KERETAPI .

Tip melancong: Berlibur naik kereta api

Oleh Suliati Asri
Sepanjang perjalanan, pemandangan yang disajikan memang memukau. Lebih menarik jika perjalanan itu merentas beberapa negara yang memiliki keindahan alam dan muka bumi menakjubkan.
Perjalanan yang mengambil masa panjang itu pastinya tidak membosankan dengan panorama menarik. 
Itu yang pastinya akan dirasai anda saat bercuti menggunakan kereta api. Perjalanan juga lebih santai kerana memberi peluang anda berehat. 

Namun, bercuti dengan kereta api memberikan situasi berbeza berbanding menaiki kenderaan peribadi atau pesawat.
Foto
PEMANDANGAN indah dipertontonkan saat bercuti menaiki kereta api.

Jika menaik kereta peribadi, anda bebas membawa seberapa banyak barang yang diinginkan dan apabila menaiki pesawat, anda tidak perlu risau memikirkan soal barang.

Jika menaiki kereta api, barangan yang dibawa adalah tanggungjawab sendiri dan perlu sentiasa dijaga. 

Justeru, mengemas barang yang dibawa ketika bercuti dengan kereta api perlu dititikberatkan dan mempunyai teknik tersendiri. 

Supaya tiada barang yang hilang serta memudahkan anda menguruskan barangan saat menaiki kereta api untuk ke destinasi percutian, cuba semak tip melancong untuk mengemas barang. 

Ia bagi mengelak menyusahkan anda terutama jika menaiki kereta api kelas ekonomi. 

Ia mungkin dapat membantu anda, sekali gus mengelak sebarang masalah nanti. 


Gunakan beg yang ringan dan mudah dibawa 

Mengangkut beg yang besar dan berat sepanjang berada di stesen kereta api sememangnya merimaskan. Apalagi ketika ramai orang. Situasi itu boleh saja membuatkan anda kehilangan ‘mood’ percutian yang indah saat menaiki kereta api. 

Justeru, bagi mengelak keadaan itu, gunakan beg yang ringan dan mudah dibawa. Penggunaan beg beroda dan mempunyai pemegang yang kuat amat membantu kerana ia menyenangkan anda mengendalikannya. 

Namun, biar beg itu tahan lasak supaya jika terjadi sebarang masalah seperti beg terjatuh, barang dan beg anda tetap selamat. 

Bagi memudahkan anda mengangkat dan menjaga barangan yang dibawa, peng­gunaan beg sandang adalah pilihan tepat. 

Membahagikan bara­ngan yang dibawa kepada dua beg kecil supaya lebih mudah dibawa juga adalah satu langkah bijak. Dengan pembahagian barang itu kepada dua beg kecil memudahkan anda mengendalikannya dan tidak perlu ke hulu hilir dengan satu beg yang sangat besar. 


Pilih barangan yang perlu dibawa 

Jika sudah menentukan saiz dan jenis beg yang akan digunakan untuk percutian dengan menggunakan kereta api, periksa pula barangan yang perlu anda bawa. 

Pertama pakaian.Bawa baju yang berwarna gelap seperti hitam, senang kering dan sesuai untuk semua keadaan atau tempat yang dituju sepanjang anda bercuti. 

Pemilihan pakaian berwarna hitam adalah pilihan tepat. Ini kerana anda boleh mencuci dan memakainya berulang kali dan hanya menggantikan aksesori. 

Selain itu, kelengkapan mandi seperti sabun mandi, sabun cuci muka, berus gigi termasuk krim muka dan minyak rambut biar berukuran kecil. 


Bawa beg kecil bersama anda 

Barang tercicir atau kecurian mungkin boleh berlaku bila-bila masa. Justeru, jika meletak barang di atas tempat duduk ketika berada dalam kereta api, sebaiknya anda menguncinya terlebih dulu bagi mengelak kecurian. 

Sebaiknya, barangan berharga seperti dompet, telefon bimbit, kad pengenalan atau pasport, tiket kereta api dan benda penting lain disimpan dalam beg kecil supaya anda boleh menjaganya dengan mudah. 

Selain anda akan sentiasa memegangnya, ia juga memudahkan anda untuk mencari barangan yang penting itu apabila diperlukan. 


Jaga barang berharga anda 

Bila anda ke bilik air atau turun dari kereta api sebentar untuk merenggangkan otot-otot kerana perjalanan jauh, bawa bersama beg kecil yang mengandungi barangan berharga. 

Selain itu, sentiasa berhati-hati dengan penyeluk saku dan mereka yang berniat jahat. 


Bersiap untuk perjalanan malam yang panjang 

Bercuti dengan kereta api biasanya akan mengambil masa lama dan kereta api biasanya akan berlepas pada waktu malam. 

Oleh itu, untuk memberikan keselesaan, sediakan ruang kosong dalam beg anda untuk menyimpan bantal kecil dan selimut nipis yang dapat digunakan apabila tidur malam dalam kereta api. 

Mahu lebih selesa, jangan lupa membawa penutup mata serta pemain MP3 untuk mendapatkan tidur lebih selesa dan nyenyak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/01

Tiada ulasan:

Catat Ulasan