Apakah anda telah memberi sekuntum bunga untuk ibu anda? Jika belum, telefonlah ibu anda hari ini dan nyatakan kasih anda kepadanya. 

Nota kecil bertulis kata-kata itu ditampal di muka hadapan akhbar yang dijual di Melbourne setiap kali sambutan Hari Ibu tiba. Ia bertujuan mengingatkan pembaca akhbar supaya mengingati ibu mereka sempena Hari Ibu. 
Hari Ibu yang disambut kebanyakan negara pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei menjadi agenda besar dalam masyarakat Australia. Contohnya, dalam dua minggu pertama Mei, aktiviti merekacipta, melukis dan mewarna kad ucapan dibuat pelajar untuk ibu menjadi acara penting di sekolah rendah. 


Semua pelajar diminta melukis dan meluahkan perasaan sayang kepada ibu dalam kad yang akan disimpan di sekolah sehinggalah hari Jumaat dan pelajar diminta menyerahkan pada ibu masing-masing pada hari Ahad iaitu Hari Ibu. 

Pihak sekolah juga menulis surat kepada ibu bapa supaya dapat memberi anak sejumlah wang sekecil RM2 bagi membeli hadiah untuk ibu masing-masing yang dijual oleh pihak sekolah. Antara hadiah disediakan adalah lampu kecil, buku, lampu kristal berbentuk hati dan macam-macam lagi. 

Tujuannya supaya setiap anak mempunyai satu hadiah dan satu kad untuk ibu mereka pada hari itu untuk membina rasa hormat serta sayang dalam kalangan anak-anak terhadap ibu mereka. Anak Muslim yang belajar di sana turut terbabit menjayakan aktiviti itu. 

Meraikan Hari Ibu mendapat reaksi berbeza dalam kalangan ilmuwan Islam. Ada yang menolak dengan hujah sambutan itu tidak berasal daripada ajaran Islam dan tidak diamalkan oleh Rasulullah SAW atau sahabat. 
Pendapat mengenai sambutan Hari Ibu 

Justeru, mereka berpendapat menyambutnya adalah haram kerana menyerupai amalan orang bukan Islam dan kita tidak wajar meniru amalan mereka tanpa mengetahui asal usul perkara itu. 

Pendapat kedua mengatakan ia harus kerana bukanlah meniru amalan agama lain yang termasuk dalam kategori ibadah mereka. Kita dibolehkan menyambutnya dengan syarat anak menunjukkan penghormatan dan menjaga kebajikan ibu tidak terhad pada hari itu, tetapi meraikan ibu sepanjang masa. Ia seumpama menyambut Hari Guru, Hari Kanak-kanak dan Hari Buruh. 

Pendapat Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research), Sheikh Faysal Mawlawi, yang disiarkan dalam Islamonline menarik untuk diperhatikan. 
Beliau menyebut, semua Muslim wajib menghormati ibu bapa masing-masing, terutama ibu. 

Apa yang Islam tidak benarkan adalah meniru orang bukan Islam dengan meletakkan satu hari sebagai hari meraikan ibu dan hari lain ibu tidak dihormati. Jika kita ingin menjadikan seluruh hari dalam setahun adalah Hari Ibu, ia juga adalah harus dan tidak ada sebarang bangkangan dalam Islam. 

Apa yang berlaku dalam kehidupan segelintir orang Barat, terdapat anak yang meninggalkan dan tidak menjaga kebajikan ibu mereka, tetapi kembali ke rumah ibu bertanya khabar hanya pada Hari Ibu serta menunjukkan penghargaan kepada ibu mereka pada hari itu saja. 

Selepas Hari Ibu, keadaan akan kembali kepada biasa. Hidup terpisah seperti sebelumnya. Inilah amalan yang tidak boleh kita ikut. 

Umat Islam sewajarnya mempunyai pendirian jelas berkenaan hal ini. Kita mesti menghormati, meraikan, menzahirkan kasih sayang dan menjaga kebajikan ibu dan bapa sepanjang mereka masih hidup. 

Mengambil tahu kebajikan, melawat mereka di kampung, memberi sumbangan kewangan setiap bulan bagi memastikan kehidupan mereka tidak terabai dan menjaga mereka semasa uzur atau sakit. 

Pada masa sama, dalam meraikan sambutan Hari Ibu, media negara kita turut memaparkan kisah sedih ibu yang dibuang oleh anak sendiri. Ada kisah ibu dihantar ke pusat orang tua dan anak tidak langsung menziarahi mereka. 

Ada yang tidak balik menjengok ibu di kampung dan tidak memberikan sebarang sumbangan kewangan kepada mereka. Anak sebegini digelar sebagai si tanggang moden sebagai simbol anak derhaka yang melupakan ibunya. 

Anak beroleh kehidupan berkat 

Adalah penting untuk anak mengambil iktibar bahawa menghormati ibu bukan hanya pada Hari Ibu tetapi hendaklah sepanjang masa. Anak yang baik dan diredai oleh ibu bapa akan beroleh kehidupan yang lebih berkat serta dirahmati. 

Anak yang melupakan ibu bapa jauh daripada rahmat Allah SWT dan besar kemungkinan akan mendapat layanan yang sama daripada anak mereka pada masa hadapan. Seperti mana kita melayan orang tua begitulah juga anak akan melayan kita sewaktu tua nanti. 

Ibu juga seharusnya tidak mengambil mudah perkara ini. Mendesak anak menjadi anak yang taat, menghormati ibu dan sentiasa meraikan mereka seharusnya selari dengan didikan diberikan. Kita maklum syurga seorang anak berada di bawah telapak kaki ibunya. 

Namun, ibu wajar mempunyai ilmu dan beramal dengan ajaran Islam yang baik untuk melayakkan mereka mempunyai syurga itu. Ibu yang mendidik anak dengan sumpah seranah, pilih kasih, jauh daripada nilai agama besar kemungkinan melahirkan anak yang tidak mentaati Allah SWT. 

Hari Ibu juga seharusnya memberi kesan kepada ibu supaya sentiasa mendidik anak menjadi anak yang taatkan Allah SWT selain baik dalam menyantuni ibu dan bapa.