• Miliki al-Quran tulisan tanganMohd Marhan menunjukkan al-Quran tulisan tangan yang diperolehnya daripada kenalan yang tinggal di Indonesia.
 1 / 1 
BATU PAHAT - Seorang pemuda di Parit Raja, di sini, mendakwa memiliki al-Quran ditulis tangan yang diperolehnya daripada kenalan di Indonesia.

Dia turut mendakwa pihak Yayasan Warisan Johor (YWJ) telah melihat al-Quran berkenaan yang dipercayai berusia lebih 200 tahun.

Pemiliknya, Mohd Marhan Lazim, 29, berkata, dia memperoleh kitab suci itu dua tahun lalu ketika mengunjungi kenalan yang tinggal di Cerebon, Indonesia.

Menurutnya, keadaan kitab suci itu cukup berbeza kerana selain ia dihasilkan dengan tulisan tangan, ia juga tidak mempunyai baris tertentu seperti al-Quran biasa.

“Al-Quran ini mempunyai huruf sahaja seperti tulisan jawi. Hanya orang tertentu boleh membacanya dan saya sekarang masih belajar untuk membaca ia.

“Pernah satu ketika, ada individu ingin menawarkan harga tinggi untuk mendapatkan ia daripada saya, tetapi saya belum terfikir untuk menjualnya buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia juga nekad untuk khatam membaca al-Quran itu dahulu dan beranggapan ia peninggalan cukup berharga daripada orang terdahulu dalam meluaskan syiar Islam di rantau ini.

Mohd Marhan berkata, YWJ masih melakukan kajian terperinci terhadap kitab suci berkenaan.

“Selain al-Quran lama berkenaan saya juga menyimpan beberapa barangan lama yang lain, seperti syiling lama, keris, tombak dan pelbagai barangan yang lain yang saya peroleh dari pelbagai tempat.

“Antaranya ialah Kota Tinggi, Melaka, Gunung Ledang, Gunung Jerai, Minyak Beku serta mendapatnya daripada kenalan saya yang mempunyai minat yang sama dengan cara bertukar barangan yang dimiliki,” katanya.