Selasa, 22 April 2014

TAYAR PECAH PUNCA PESAWAT MH 192 PATAH BALIK.


ARKIB : 22/04/2014

Tayar pecah punca patah balik


Beginilah keadaan tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanan pesawat MH192 yang pecah, semalam yang mengakibatkan juruterbang terpaksa membuat pendaratan cemas di KLIA.
SEPANG 21 April - Pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH192 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bangalore, India terpaksa membuat pendaratan cemas di sini pagi tadi selepas salah sebuah daripada tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanannya pecah semasa berlepas.
Pesawat jenis B737-800 yang dijadualkan tiba pada pukul 11.35 malam semalam di Bangalore itu terpaksa berpatah balik ke KLIA selepas dimaklumkan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (ATC) bahawa terdapat serpihan tayar ditemui di landasan.
MAS dalam kenyataannya berkata, pusat kawalan trafik dengan segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi (OCC) MAS pada 10.25 malam, kira-kira 16 minit setelah pesawat itu berlepas bagi memaklumkan kerosakan yang berlaku.
"Pesawat ini yang berlepas dari KLIA ke Bangalore pada pukul 10.09 malam semalam, selamat mendarat semula di lapangan terbang yang sama pada pukul 1.56 pagi tadi, membawa 159 penumpang dan tujuh krew pesawat.
"Pesawat ini terpaksa berpatah balik selepas pihak ATC memaklumkan terdapat serpihan tayar di landasan dan dengan segera OCC dimaklumkan berhubung keadaan itu. Berikutan keselamatan penumpang menjadi keutamaan pihak MAS, pesawat ini diarahkan untuk berpatah balik," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, semua penumpang dan krew pesawat selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Semua penumpang kemudian telah dibawa ke hotel berdekatan sebelum menaiki pesawat berikutnya dari KLIA ke Bangalore pada pukul 3.30 petang hari ini.
Dalam pada itu, jelas kenyataan tersebut, sebaik sahaja pesawat itu diarahkan berpatah balik, Unit Menyelamat Kebakaran Lapangan Terbang (AFRS) telah dikerahkan bagi langkah berjaga-jaga.
"Pihak MAS memohon maaf terhadap kesulitan yang dihadapi oleh penumpang pesawat ini.
"Semua penumpang telah dibawa ke tempat penginapan berdekatan sementara menunggu penerbangan MH192 yang dijadualkan semula untuk berlepas dari KLIA pada pukul 3.30 petang ini dan dijangka tiba pukul 5 petang pada hari sama," katanya.
Pesawat itu diterbangkan oleh juruterbang, Kapten Nor Adam Azmi bersama pembantu juruterbang, Prakash Kumar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140422/dn_01/Tayar-pecah-punca-patah-balik#ixzz2zdKVQnRB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan