Jumaat, 4 April 2014

KEMBARA BUMI SUCI LALUAN BERAIS.

Kembara Bumi Suci: Cabaran laluan berais

Oleh Hairulazim Mahmud
Zhangye (China): Pengalaman hari ke-21 Kembara Bumi Suci 2014 (KBS2104) pasti tidak akan dilupakan oleh semua ahli konvoi yang kini berada lebih 6,000 kilometer (km) dari Kuala Lumpur.
Menguji fizikal dan mental selain amat mendebarkan mereka, namun ujian itu tetap dihadapi dengan tabah.
Perjalanan dari ibu kota Qinghai iaitu Xining ke sini dijangka berdepan dengan kesukaran di laluan pergunungan Dabanshan sekiranya salji turun kerana jalan raya diliputi ais dan licin.
Semua peserta khususnya penunggang mula berdebar kerana belum berpengalaman menunggang di dalam salji, apatah lagi jalan raya berais.
Selepas hampir 100km menunggang, sebaik tiba di laluan pergunungan berkenaan, apa yang dibimbangkan semua anggota konvoi menjadi kenyataan.
Dengan salji tebal mencecah lutut, deretan kenderaan khususnya lori besar dengan muatan penuh berhenti di tepi jalan kerana tidak dapat meneruskan perjalanan akibat jalan raya licin diliputi ais.
Bagaimanapun, pemilik lori dan kereta yang melilit tayar mereka dengan rantai besi dapat meneruskan perjalanan kerana cara itu dapat memecahkan ais bagi membolehkan roda mencengkam jalan raya.
Selepas berbincang ringkas, konvoi membuat keputusan meneruskan perjalanan dengan menyusuri laluan kenderaan beroda rantai sejauh hampir 4km sebelum tiba ke terowong Dabanshah.
Risiko tetap ada kerana keseluruhan jalan di lereng pergunungan yang ketinggiannya hampir 4,000 meter dari aras laut itu licin tetapi perjalanan mesti diteruskan.
Dua peserta, Datuk Ahirudin Attan dan Awang Azri Yusoff bergerak dulu diikuti Ketua Ekspedisi Azman Baharuddin serta wartawan Harian Metro sebelum Abi Khalid Abdul Sammad menyusul.
Bagaimanapun, Abi Khalid terlebih dulu terjatuh sebelum selekoh yang pertama kerana ais tebal dan dia tidak dapat mengawal motosikalnya.
Kelajuan motosikal masing-masing antara 10 hingga 15km sejam.
Beberapa motosikal lain turut terjatuh selepas tergelincir termasuk wartawan Harian Metro dan Pengurus Logistik Nor Azlan Yusof pula manakala Azman tidak dapat meneruskan perjalanan kerana klac motosikalnya bermasalah.
Jarak ke bandar ini masih jauh iaitu 200 km lagi sedangkan ribut salji semakin kuat dan sekiranya perjalanan diteruskan menuruni pergunungan sejauh 17km itu, risikonya amat tinggi dan membahayakan nyawa penunggang.
Selepas semua penunggang termasuk van sokongan tiba di terowong Dabanshan, keputusan dicapai bahawa semua motosikal akan diangkut menggunakan lori manakala penunggang menaiki kenderaan sokongan.
Hampir tiga jam masa diambil untuk menaikkan semua motosikal ke atas lori dengan bantuan kakitangan plaza tol dalam ribut salji yang sejuknya menyucuk tulang.
Walaupun konvoi orang asing, kakitangan plaza berkenaan menghulurkan bantuan sebaiknya kerana memahami masalah yang dihadapi konvoi ketika itu.
Sebaik selesai, semua peserta dengan kenderaan sokongan menuruni pergunungan terbabit dan ternyata keputusan tidak menggunakan motosikal tepat kerana sepanjang perjalanan ke pekan terdekat iaitu Menyuan, banyak kemalangan berlaku akibat jalan raya terlalu licin.
Semua peserta dan motosikal tiba dengan selamat di pekan berkenaan yang turut terkenal dengan jolokan Switzerland Timur kerana dikelilingi pergunungan bersalji seumpama negara Eropah itu.
Mereka bersyukur kerana telah membuat keputusan yang betul demi keselamatan nyawa masing-masing.
Menurut penerbit Firdaus Muhammad Zainal yang sebelum ini mengikuti KBS2010 dan KBS2012, itu adalah cabaran paling getir yang dihadapinya.
“Kita membuat keputusan yang tepat untuk tidak menunggang dalam keadaan jalan di gunung yang licin tadi,” katanya.
Semalam, semua peserta meneruskan perjalanan dengan bermotosikal ke sini.
Bakal mengharungi perjalanan sejauh hampir 18,000km, konvoi ini akan melalui 12 negara selain dijangka mengharungi cuaca sejuk dan panas ekstrem di beberapa negara.
Laporan harian kembara ini boleh diikuti di www.israqadventure.com dan laman Facebook, Kembara Bumi Suci 2014.
Mesej kesederhanaan Islam turut disebarkan sepanjang ekspedisi berlangsung.
Lembaga Tabung Haji adalah penaja utama kembara ini yang disokong oleh Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF).
Foto
KEADAAN jalan yang licin menyukarkan perjalanan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/05

Tiada ulasan:

Catat Ulasan