Ahad, 13 April 2014

TAKUT BALA ALLAH.

Takuti bala Allah

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
BUKAN sahaja dijadikan sebagai pusat ibadah khusus, masjid juga merupakan lambang kepada syiar Islam yang memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian umat Islam.
Sehinggakan perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika tiba di Madinah adalah mendirikan masjid sebagai pusat gerakan dan kegiatan umat Islam pada masa itu.
Masjid telah dijadikan sebagai pusat untuk berkumpul dan berbincang mengenai semua aspek termasuk strategi peperangan, pentadbiran, perdagangan, kebudayaan dan juga pusat pendidikan pada masa itu.
Ini menunjukkan luasnya fungsi masjid dan surau yang juga digelar rumah Allah SWT. Bukan sahaja sebagai pusat penghubung antara manusia dan tuhannya, malah pengikat kesatuan sesama manusia.
Justeru, Penasihat Agama dan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Tuan Asmawi Tuan Omar berkata, tindakan menyalahgunakan masjid sehingga menyebabkan perpecahan umat dikhuatiri boleh mengundang bala daripada Allah SWT.
Ini katanya, peranan rumah ibadat yang sepatutnya menjadi pusat turunnya keberkatan sebaliknya dijadikan medan yang membuahkan dosa.
“Masjid adalah tempat mahbatul barakah iaitu turunnya keberkatan melalui ibadat-ibadat yang dilakukan. Selain itu, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, masjid atau surau juga boleh dijadikan menjadi pusat aktiviti masyarakat yang bertujuan untuk menyatupadukan umat Islam.
Perpecahan
“Jika penyalahgunaan masjid dilakukan sehingga menyebabkan perpecahan, maka tunggulah bala daripada Allah SWT akibat tiada lagi persefahaman dalam umat sesama agama dan kesannya pelbagai pergolakan akan berlaku," katanya.
Antara perkara yang boleh membawa kepada perpecahan itu katanya adalah, membawa masuk fahaman politik kepartian di dalam masjid dan surau tanpa mengambil kira jemaah yang hadir di rumah ibadah tersebut.
Ia tambahnya, kerana ketaksuban rata-rata penyokong parti di negara ini sehingga membolehkan sesuatu yang ditegah.
“Kita melihat, menjadi budaya politik di negara ini pengikut lebih disifatkan sebagai taksub dalam parti yang disokong. Hakikatnya apa yang diperlukan dalam berpolitik adalah kesetiaan pada parti.
“Oleh kerana sifat taksub ini, tidak kira apa fahaman sekalipun, mereka akan melakukan apa sahaja demi parti sehinggakan membenarkan apa yang tertanya salah, malah langsung tidak boleh ditegur.
“Inilah sebab mereka menggunakan rumah ibadah sebagai landasan berpolitik iaitu dipercayai untuk lebih mudah mempengaruhi orang ramai fahaman yang disampaikan adalah benar dengan menggunakan imej kesucian masjid," jelasnya.
Kesan daripada perpecahan itu katanya, fungsi masjid dan surau akan semakin terhapus serta ahli jemaah tidak lagi mahu bertegur sapa.
Oleh itu katanya, masjid adalah merupakan landasan utama yang boleh digunakan sebagai percantuman titik kesefahaman dan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa, latar belakang dan juga ideologi.
“Apabila kita ke masjid, tinggalkanlah segala fahaman, pangkat dan perselisihan di luar. Ini kerana terdapat banyak lagi medium boleh digunakan untuk menyuarakan ketidaksefahaman itu.
“Imarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang boleh menyatupadukan sesama umat. Hal ini dapat menyelamatkan umat Islam dan juga negara daripada mengundang bala," ujarnya.
Masyarakat juga katanya, perlu matang dalam berpolitik agar tidak mencemarkan nama baik agama Islam disebabkan sikap kurang prihatin terhadap sensitiviti individu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140410/ba_02/Takuti-bala-Allah#ixzz2ymPNAziz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan