12 maut di puncak dunia
Kathmandu: Sekurang-kurangnya 12 pemandu pendaki lelaki Gunung Everest terbunuh akibat salji runtuh dalam kemalangan pendakian paling buruk di puncak tertinggi dunia itu, pagi tadi.
Mereka antara kumpulan orang Sherpa yang membawa khemah, makanan dan tali bagi persiapan musim mendaki yang bakal bermula akhir bulan ini.
Kejadian berlaku pada jam 6.45 pagi waktu tempatan pada ketinggian kira-kira 5,800 meter di kawasan dikenali sebagai ‘popcorn field’ yang terletak di laluan merentasi kawasan jatuhan ais Khumbu yang berbahaya.
“Setakat ini kami berjaya menemui 12 mayat di dalam runtuhan salji dan tidak tahu berapa ramai lagi mangsa terperangkap,” kata pegawai Kementerian Pelancongan Nepal Dipendra Paudel.
PUNCAK tertinggi di dunia, Gunung Everest. FOTO AFP
Pasukan menyelamat terdiri daripada pendaki yang turut dibantu helikopter masih mencari mangsa dan tujuh ditemui masih hidup, katanya.
Seorang anggota Persatuan Penyelamat Himalaya, Lakpa Sherpa berkata, jumlah kematian mungkin setinggi 14 mangsa.
“Saya melihat 11 mayat dibawa ke kem induk namun kami diberitahu mungkin ada tiga lagi,” katanya di kem induk. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan