Isnin, 7 April 2014

HIDAYAH ITU MILIK ALLAH DAN AKAN DIBERI KPD SESIAPA SAHAJA YG DIKHENDAKI OLEH-NYA.

Hidayah milik Allah, cucu paderi peluk Islam jadi Imam ternama


Suhaib Webb

DAHULU, dunianya agak ‘hitam’.

Seorang yang hilang kepercayaan pada agamanya sendiri.

Terlibat dengan kumpulan remaja yang nakal lagi liar.

Namun, itu semua berubah sejak beliau memeluk Islam pada usia 20 tahun.

Ya, perjalanan hidup William Webb atau nama Islamnya, Suhaib Webb sangat menarik.

Malah, Suhaib berjaya membuktikan bahawa Islam adalah milik semua, termasuk dirinya yang berkulit putih dan warga Barat.

Tidak cukup dengan itu, Suhaib juga mempunyai kualiti yang sangat cemerlang sebagai seorang Muslim.

Menyorot latar belakang Suhaib, siapa sangka beliau dilahirkan dalam keluarga Kristian (Prostestan) pada 1972 di Oklahoma. AS.

Sebelum memeluk Islam, beliau telah membesar sebagai cucu kepada paderi, menghadiri pertemuan di gereja tiga kali seminggu, sehinggalah tarikan beliau untuk mendalami Kristian semakin lemah.

Jelasnya, pada usia 14 tahun, akibat krisis kerohanian, dia hilang minat kepada mana-mana anutan agama.

"Pada usia itu juga, saya mula terlibat dengan kumpulan remaja yang nakal lagi liar.

"Selain itu, saya juga adalah DJ Hip Hop dan sering merakamkan lagu dengan ramai artis ketika itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitu pun, kata Suhaib, melalui industri muzik juga, beliau mula diperkenalkan dengan agama Islam,

Ketika beliau berusia 17 tahun, seorang kenalan dalam industri itu menghadiahkannya senaskhah al-Quran terjemahan.

"Saya telah bekerja dengan artis Hip Hop dan sebahagian daripada mereka adalah beragama Islam dan mereka memperkenalkan saya kepada al-Quran.

"Sejak itu, al-Quran sedikit demi sedikit telah mula memberikan pengaruh cukup besar dalam hidup saya.

"Saya belajar al-Quran selama tiga tahun sebelum saya memeluk Islam," kata bapa kepada dua anak ini.

Tambahnya lagi, pada waktu sama, beliau juga semakin jauh terheret dalam kehidupan yang ganas akibat bergaul dengan kumpulan-kumpulan remaja liar.

'Paling berpengaruh di dunia'

Beliau adalah seorang yang suka berkongsi ilmu, jika dalam bahasa Arabnya perumpamaannya adalah Al Ilmu kal Usrati, iaitu ilmu itu bagai keluarga, mesti dikongsi bersama.

William Webb atau nama Islamnya, Suhaib Webb suka berkongsi ilmu tanpa mengira cara dan tempat di mana saja terutamanya dalam menggunakan sepenuhnya perkembangan teknologi maklumat (IT).

Bahkan, kenyataan ini disokong daripada kejayaan laman webnya sendiri, iaitu www.SuhaibWebb.com (Your Virtual Mosque), yang diiktiraf sebagai Blog Terbaik, The Best Blog Of The Year oleh Brass Crescent Awards dan di laman sosial Tweeter pula, dengan undian tertinggi untuk memenangi The Best Muslim Tweeter, setahun kemudian.

Tidak cukup dengan itu, di laman sosial Facebook miliknya, beribu-ribu likes dimilikinya dan beliau juga boleh dikenali sebagai Ustaz Youtube lantaran kepopularannya pada hari ini.

Selain itu, beliau turut dipilih sebagai salah seorang daripada '500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia' oleh Pusat Pengajian Strategik Diraja Islam pada 2010.

Suhaib juga telah dinobatkan sebagai 'Pemimpin Islam Sederhana' oleh Kerajaan British pada 2010 dan 2013.

Malah, Suhaib turut menjadi penggerak sayap belia untuk Muslim American Society dan juga menjadi tenaga pengajar untuk Al Maghrib Institute, universiti maya yang beroperasi 24 jam di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom.

Insiden jenayah berkumpulan

Suhaib memeluk agama Islam pada 1992, ketika itu beliau berusia 20 tahun.

Insidennya dikejar oleh kereta peronda polis dan terselamat daripada ditembak atas jenayah berkumpulan yang mereka lakukan menjadi titik tolak akan penghijrahannya.

Baginya, kejadian berkenaan adalah satu 'siren amaran' yang kuat kepada buat dirinya agar sedar sebelum segala-galanya terlambat.

"Saya benar-benar sedar sejak kejadian itu dan tidak ada cara atau jalan lain kecuali memeluk Islam bagi memastikan saya tidak lagi terjerumus dalam kancah jenayah," katanya.

Setelah itu, beliau berhenti dari menjadi DJ dan mengambil keputusan untuk meneruskan pengajiannya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti of Central Oklahoma di dalam bidang pendidikan.

Pengajiannya kemudian diteruskan di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir selama enam tahun bermula pada 2004 dalam bidang Syariah.

"Saya mempelajari dan menghafal al-Quran di Mekah daripada seorang ilmu agama terkenal, Sheikh Abu Mustafa,

"Saya juga pernah menjadi guru agama dan mengajar di AS dan United Kingdom," kata pendakwah bebas ini.

Namun tidak sahaja beliau belajar di universiti bagi melengkapkan keperluan pendidikan rasmi, bagi yang tidak rasmi Suhaib belajar mengenai Islam dan bahasa Arab secara persendirian dengan seorang ulama dari Senegal.

Kini, beliau adalah Imam Masjid Boston di Pusat Masyarakat Islam dan Kebudayaan Boston (ISBCC), masjid yang terbesar di wilayah New England, Amerika Syarikat.

Hos Reflections

Menjadi antara peneraju awal bagi rancangan agama popular masa kini, Reflections di TV Al Hijrah (saluran 114), Suhaib berjaya mengumpulkan peminatnya tersendiri.

Maka tidak hairanlah, rancangan itu yang kini bakal memasuki musim ke-16 dan 17, sejak mula diperkenalkan hampir tiga tahun lalu, masih lagi mengekalkannya sebagai hos rancangan.

"Dulu, saya membesar dengan pengaruh yang disiarkan oleh saluran TV MTV, maka tidak menghairankan yang lahir adalah generasi MTV.

"Jadi, kita perlu mengambil kesempatan sepenuhnya demi membentuk generasi Islam yang terbaik terutama daripada kalangan anak muda kita hari ini," katanya.

Sebagai bekas DJ, beliau masih lagi menggunakan kemahiran dalam berkomunikasi itu bagi menarik perhatian penonton.

Dalam rancangan itu, Suhaib mengupas surah-surah dalam al-Quran dari pelbagai aspek, terutama dengan mengaitkannya dengan kehidupan seharian umat Islam.

Beliau tidak sahaja mengeluarkan pendapat, malah berkongsi dengan ulama-ulama dan tokoh ilmuan Islam lain bagi memberikan perspektif lebih luas kepada penonton.

"Konsep dan pemahaman ajaran Islam secara terperinci dengan terjemahan ayat-ayat suci al-Quran akan didedahkan kepada semua penonton," katanya.

Reflections musim baharu akan ditayangkan menjelang Mei nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan