Rabu, 2 April 2014

PENYANYI RAP PELUK AGAMA ISLAM.

Rap kepada nasyid

ABDULLAH ROLLE
SIAPA sangka pertemuan singkat tanpa dirancang bersama seorang pendakwah telah mengetuk hati penyanyi rap terkenal antarabangsa untuk memeluk agama Islam, sekali gus memanfaatkan kelebihan suaranya sebagai landasan untuk berdakwah.
Berkongsikan pengalamannya, Abdullah Rolle yang merupakan kelahiran Clapton, Timur London itu berkata, peristiwa berlaku ketika beliau sedang berjalan di sebuah pasar raya dan terserempak dengan seorang Muslim.
“Suatu pagi, ketika saya sedang berjalan di pasar raya, tiba-tiba saya disapa oleh seorang lelaki Muslim yang tidak dikenali untuk diajak berbual sebentar.
“Lelaki itu bertanyakan mengenai Islam dan Nabi Muhammad kepada saya, tetapi saya mengalihkan topik perbualan dengan mengatakan bahawa agama yang dianuti sejak lahir sehingga pada masa itu adalah yang benar," katanya.
Bagaimanapun, Rolle berkata, beberapa tahun kemudian beliau mula terfikir kembali mengenai agama Islam berikutan sering mendapat gambaran negatif dunia yang membuatkan beliau ingin mengkaji mengenai ajaran agama tersebut.
“Saya tidak pernah serius dengan masalah agama. Namun, beberapa tahun daripada pertemuan bersama pendakwah itu saya mula terfikir kembali mengenai Islam.
“Saya telah bertemu dan berbincang dengan seorang Muslim mengenai agama Islam dan kekuasaan Allah SWT, tetapi masih belum bersedia untuk memeluk Islam.
“Ini kerana, rata-rata Muslim yang saya temui adalah mereka yang terlibat dalam industri muzik dan mempunyai hidup masing-masing. Oleh itu, saya tidak merasakan sebarang perbezaan walaupun memeluk Islam," katanya.
Benarlah hidayah daripada Allah SWT kepada hambanya yang terpilih adalah melalui pelbagai cara. Pelbagai kisah mengenai gambaran negatif terhadap Islam didengari termasuk penganiayaan terhadap umat Islam.
Justeru itu menguatkan lagi keinginan Rolle untuk mendalami agama Islam.
“Pelbagai perkembangan dunia dan kejadian mengenai konspirasi terhadap Islam saya ikuti. Islam sering digambarkan sebagai pengganas dan dalam beberapa hal yang saya baca dan meneliti, tidak semuanya benar.
“Saya bertanya pada dirinya sendiri, mengapa dunia selalu memburuk-burukkan dan menyerang Islam dan umat Islam? Dalam kebingungan itu saya berdoa memohon petunjuk apakah yang sebenarnya berlaku," ujarnya menceritakan awal pengenalannya mengenali Islam.
Sehinggalah suatu hari ketika berada di sebuah kedai buku, secara kebetulan anak lelaki Rolle menunjuk sebuah video cakera padat berjudul, What Is The Purpose of Life? oleh Khaled Yasin.
“Semasa menonton video itu, saya mendapati apa yang disampaikan adalah perkara yang telah saya ketahui melalui bacaan saya sebelum ini. Saya merasakan apa yang dikatakan adalah benar," kenang Rolle.
Keindahan Islam
Waktu terus berjalan, Rolle mula menjinakkan diri menyertai dan bersama komuniti Muslim untuk lebih mendalami mengenai Islam dan akhirnya beliau mula tertarik dengan keindahan Islam dan keprihatinan kenalan Islam itu kepadanya.
“Saya meluangkan masa bersama mereka selama hampir dua tahun. Mereka mengajarkan, memperbetulkan dan mengingatkan saya mengenai akhlak dan sejak daripada itu saya mula menjadi akrab dengan mereka," ujar Rolle.
“Ia terkesan dengan sikap mereka yang sopan, baik hati dan suka membantu. Walaupun menghadapi perbagai tohmahan di seluruh dunia, tetapi mereka masih bersikap baik terhadap saya yang bukan seagama dengan mereka.
“Saya ingin berusaha agar menjadi orang yang taat, dan saya terus berusaha. Saya juga ingin seperti mereka," tegas Rolle.
Keyakinan Rolle terhadap Islam mula bertambah, dan beliau akhirnya mengambil keputusan untuk memeluk Islam.
“Sahabat-sahabat yang banyak membantu saya mengenali Islam. Ketika awal memeluk Islam, mereka tidak mengatakan bidang muzik yang juga minat saya sejak kecil itu haram, bahkan mereka turut mendorong saya meneruskan karier dalam industri muzik.
“Mungkin saya tidak akan menjadi seorang Muslim jika melarang saya meneruskan dalam karier saya itu. Sehinggalah saya terfikir untuk memanfaatkan kelebihan yang ada untuk menyumbangkan khidmat untuk sama menyampaikan dakwah Islam," katanya.
Hinggalah sekarang, selain aktif dalam berbagai kegiatan bersama komuniti Muslim di London, Rolle memfokuskan kariernya sebagai artis nasyid bertaraf antarabangsa.
Antara album terkenal dan menembusi pasaran global berjudul, Peace ketika di Afrika Selatan pada 2009.


Artikel Penuh: http://202.190.126.82/utusan/Bicara_Agama/20140402/ba_03/Rap-kepada-nasyid#ixzz2xjyNZu3a
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan