Tiada sesuatu yang ada di muka bumi ini melainkan semuanya ditunjukkan dalam pelbagai bentuk, pelbagai  rupa dan pelbagai pilihan. Kerencaman ini menandakan kejadian alam serta kejadian pada alam haiwan dan pada diri manusia sendiri.

Oleh kerana kepelbagaian adalah satu realiti, kita tidak berupaya menolaknya malah ia menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang kita saksikan setiap hari dan kita rasai setiap masa.

Demikianlah tanda kebesaran ALLAH seperti yang difirmankan oleh ALLAH dalam surah Al Fussilat ayat 53:

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?”

Adalah menjadi sesuatu yang kurang bijak untuk menidakkan realiti kepelbagaian sebagai satu fitrah kejadian. Apa yang boleh kita lakukan ialah memahami dan hidup dalam kepelbagaian ini dengan cara yang diajar oleh Islam bagi mencapai kehidupan yang bermakna.

Apabila kita memilih untuk menolak kewujudan kepelbagaian dalam kehidupan kita, kita seolah-olah menolak kejadian yang ditetapkan sebagai fitrah.

Alangkah benarnya kata-kata Imam Hasan al Banna (1906-1949):

 “…..janganlah sekali-kali kamu bertembung dengan rahsia kejadian (fitrah) ini kerana kelak ia akan mengalahkan kamu, tetapi hendaklah kamu menguasainya dan gunakanlah keadaan ini dan alihkan arusnya untuk dikuasai dan mohonlah pertolongan antara satu sama lain….”

Sebenarnya kejelasan hidup yang penuh dengan kepelbagaian sebagai satu tabiat semulajadi kejadian disebut oleh ALLAH dalam Al Fathir ayat 27-28 yang bermaksud:

“Tidakkah kamu melihat bahwasanya ALLAH menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat”  (Al Fathir: 27)

“Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada ALLAH di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (orang mengetahui). Sesungguhnya ALLAH Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al Fathir: 28)

Prasyarat untuk memahami erti kepelbagaian dalam Islam dan bagaimana menguruskannya dengan penuh limpahan Rahmat bermula dengan penerimaan fakta penting bahawa “kepelbagaian adalah satu realiti dan satu kepastian” dan dari sini kita akan menghuraikan perincian bagaimana fakta ini memberi kesan dalam kehidupan kita dan bagaimana seharusnya kita berhadapan dengannya dengan tenang dan menghindari segala keraguan dan kebimbangan.

Bagi faedah mendalami rahsia kepelbagaian dan kerencaman kejadian, dicatatkan dengan ringkas beberapa ayat tentang kejadian ini yang meliputi setiap kejadian Tuhan.

Kepelbagaian Dalam Ciptaan

Kejadian siang dan malam serta matahari dan bulan adalah tanda kebesaraNya dalam kepelbagaian yang kita sering saksikan supaya manusia akur dengan kejadian ini dan mengembalikan segala kebesaran ini kepada Allah sebagai penciptanya. Firman ALLAH dalam Fussilat ayat 37:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada ALLAH yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada ALLAH”

Kepelbagaian Dalam Bahasa Dan Bangsa

Dalam Surah Al Rum ALLAH SWT menceritakan tentang kepelbagaian bahasa dan keturunan yang ada pada kejadian manusia sendiri sehinggakan mustahil untuk kita dapati manusia semuanya berada pada satu bahasa, satu warna dan satu bentuk.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui” (Al Rum: 22)

Mereka yang memahami kepelbagaian kejadian dalam diri manusia sendiri disifatkan oleh ALLAH sebagai orang yang mengetahui yakni dapat menerima hakikat kepelbagaian.

Kepelbagaian Agama Dan Kepercayaan

Satu hakikat yang seiring dengan kejadian dalam kepelbagian ini ialah wujudnya kepelbagaian agama dan kepercayaan dalam sejarah manusia yang panjang.

Tidak ada pada sesuatu masa itu manusia berada pada satu agama kecualilah pada saat Adam diturunkan ALLAH ke atas muka bumi manusia, namun dalam generasi seterusnya kesesatan keturunan generasi Adam melahirkan kepelbagaian dalam memahami keperluan untuk beragama.

Hakikat kepelbagaian ini disebut oleh al Quran dalam masing-masing dalam surah Yunus dan Hud:

“Dan Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Yunus: 99)

“Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin ALLAH; dan ALLAH menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya” (Yunus :100)

Ayat di atas walaupun tema utamanya ialah melarang Nabi Muhammad SAW memaksa orang lain memeluk Islam namun hakikatnya ialah wujudnya agama lain selain Islam adalah satu bentuk kepelbagaian yang menjadi satu realiti. Mungkin ayat dalam Surah Hud lebih jelas menerangkan bahawa sepanjang masa akan ada agama lain yang wujud selain Islam, dalam firmanNya:

“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu dia menjadikan manusia umat yang satu (agama yang satu), tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat” (Hud:118)

“Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. dan untuk Itulah ALLAH menciptakan mereka. kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) Telah ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya” (Hud: 119)

Perkataan “Ummatan Wahidatan” dalam kedua-dua ayat dari surah Yunus dan Hud bermakna satu agama sahaja kerana dalam bahasa Arab “ummah” boleh membawa kesepakatan sesuatu kelompok ke atas sesuatu agama lalu dijadikan makna kesepakatan itu sebagai “satu agama”.

Kehendak ALLAH mengatasi segala-galanya namun dalam hal menjadikan hanya satu agama dari sudut kewujudan, ALLAH tidak mengkehendakinya walaupun dari sudut Kebenaran hanya satu sahaja agama yang diterima oleh ALLAH dan dalam hal ini umat Islam meyakini bahawa agama itu adalah Islam. Justeru itu atas kebenaran Islam inilah maka menjadi sesuatu yang pasti supaya Islam menurunkan rahmatnya terhadap kepelbagaian agama yang ada di hadapannya.

Kenyataan bahawa Islam adalah satu kebenaran bukan memberi lesen untuk Islam menghina kewujudan agama lain, bahkan Islam menuntut penganutnya menerima kepelbagaian dan hidup dengannya seperti yang digariskan oleh konsep Rahmatan Lil A’lamin.

Penjelasan Kepelbagaian

Surah Hud ayat 118-119 perlu dijelaskan dalam memahami mengapa ALLAH mengizinkan pelbagai agama sedangkan agama Islam itu adalah agama yang benar. Mengapa perlu wujudnya pelbagai agama sedangkan Islam itu hanya satu, adakah maksud ayat ini mengisyaratkan bahawa Islam mengiktirafi agama lain sedangkan ALLAH berfirman:

“Sesungguhnya Agama (Deen) di sisi ALLAH hanyalah Islam, tidaklah mereka yang diberi al Kitab sehinggalah telah datang kepada mereka ilmu (tahu yang benar) kecuali  mereka melampaui batas sesama mereka, barangsiapa yang kufur dengan keterangan dari ALLAH, sesungguhnya ALLAH amat pantas perhitunganNya” (Ali Imran: 19)

Penjelasan dari para mufassir yang muktabar dapat menjelaskan keseimbangan dalam memahami ayat surah Hud 118-119 dengan Ali Imran ayat 19 supaya kita jelas realiti bagaimana wujudnya kepelbagaian agama diimbangi dengan wujudnya hanya satu kebenaran dan Islam menyantuni keseimbangan ini dalam konteks Rahmatan Lil A’lamin yang diperjuangkannyanya. Di bawah adalah penjelasannya:

Pertama:

Ayat 118-119 dari surah Hud tidak bertentangan dengan ayat 19 dari surah Ali Imran kerana ALLAH menegaskan satu realiti tentang kewujudan agama pelbagai selain daripada wujudnya hanya satu kebenaran (Islam). Kewujudan pelbagai agama selain dari Islam itu bukan bererti mengiktirafi agama mereka secara teologinya (akidah dan syariat) tetapi sebenarnya adalah mengiktirafi adanya kepelbagaian agama selain Islam.

Adapun menyatakan hanya Islam sahaja yang perlu wujud adalah bertentangan dengan dengan maksud “mereka berterusan berbeza (dalam beragama)” (Al Hud: sebahagian 118) Imam Al Qurtubi menjelaskan dengan memetik pandangan Mujahid dan Qatadah bahawa maksud mereka terus berbeza agama iaitu “berada atas agama pelbagai” (keberadaan) kecualilah sesiapa yang mendapat petunjuk lalu beriman dengan yang benar. (lihat Abi Abdullah Muhammad Al Ansari Al Qurtubi: Al Jamie’ Li Ahkam Al Quran, j 9: ms 114, Al Haiah Al Masriyah al Aammah  Lil Kitab, c 3 1987)

Islam mengiktirafi adanya disekelilingnya secara existence (wujud) pelbagai agama bukan bermakna Islam mengiktirafi secara teloginya kebenaran agama mereka, jikalau demikian keadaannya maka implikasinya ialah agama itu semuanya sama dan ini akan bertentangan dengan fahaman ayat dalam Ali Imran ayat 19 yang menyatakan bahawa “Agama yang benar di sisi ALLAH ialah Islam..”.

Secara konklusifnya boleh kita menyakan dengan jelas bahawa “Kewujudan pelbagai agama adalah tentang wujudnya kepelbagaian dan bukan pengiktirafan secara teologinya ke atas agama yang pelbagai itu.

Bagi menjelaskan lagi, ayat yang sama dalam Hud 119, ALLAH menyebut “…dengan itu mereka diciptakan..”. Hasan, Ata’ dan Muqatil  mengatakan “berbezanya mereka adalah antara persoalan mengapa mereka diciptakan” manakala Malik pula berpendapat, “Apabila mereka berbeza antara persoalan siapa yang mendapat hidayah dan siapa pula yang berada dalam kesesatan, ini bermakna ALLAH menciptakan dua kelompok kerana dari sudut akibatnya di penghujung akan ada dua kelompok iaitu satu masuk neraka (golongan yang sesat) dan satu masuk syurga (golongan yang mendapat hidayah)” (Ibid ms 115)

Kesesatan Pandangan Agama Semua Sama

Menyatakan semua agama adalah sama atas alasan wujudnya kepelbagaian adalah satu kesesatan pada fahaman teks Al Quran dan tersasar dari makna Syariat Islam itu sendiri. Pada waktu yang sama,adalah satu kesesatan juga untuk menyatakan bahawa hanya Islam sahaja yang layak wujud (existence) dan agama lain tidak layak wujud (inexistence).

Fahaman ini akan bercanggah dengan teks al Quran yang ada seperti di dalam surah Al Hud ayat 118.

“Dan jika Tuhanmu mengkehendaki, nescaya dijadikan manusia kamu atas satu agama namun mereka berterusan berbeza-beza (dalam agama mereka) kecualilah siapa yang Tuhanmu berikan Rahmat (mendapat hidayat)”

Fahaman yang betul dan tepat ialah dengan menyatakan bahawa:

“Islam menerima realiti kepelbagaian (agama) secara wujudnya (existence) walaupun hanya Islam sahaja yang diyakini benar (oleh penganutnya) secara teologinya, amalannya dan syariatnya lantas bagi menjalani kehidupan dalam keadaan damai kerana wujudnya kepelbagaian agama yang berpotensi untuk menjadi konflik, Islam mewajibkan Rahmatnya bagi mengatasi dan menguruskan wujudnya kepelbagaian yang ada (peacefull co existence)”

Kedua:

Berkenaa dengan kebenaran Islam berhadapan dengan realiti kepelbagaian agama yang ada, Allah menegaskan bahawa hanya Islam sahaja yang diterima disisi Allah seperti dalam Ali Imran ayat 19 dan dalam ayat yang sama Allah menyatakan sebab mengapa mereka, yakni Nasrani dan Yahudi yang diberi Kitab sebelumnya telah lari dari kebenaran (mengikut prespektif teks Al Quran) kerana mereka sesama mereka mempunyai kepentingan sendiri dengan menafsirkan agama mengikut kehendak hawa nafsu mereka.

“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam, Tidaklah mereka yang diberi kitab (Yahudi dan Nasrani) berselisihan kecualii setelah datang kepada mereka pengetahuan kerana dengki sesama mereka, barangsiapa yang ingkar dengan ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah itu maha pantas perkiraannya”

 Nasrani (Kristian) menjadikan doktrin Tuhan itu dalam bentuk Triniti manakala Yahudi mengatakan keturunan merekalah yang layak mendapat kenabian dan menolak Nabi akhir zaman dari keturunan Arab Quraisy. Pemimpin agama mereka pula berbalahan antara satu sama lain kerana bersengketa tentang kebenaran lantaran hasad mereka dan kebencian sesama mereka.

Agama yang diterima di sisi ALLAH menurut Ibnu Kahtir melalui ayat di atas, ialah:

“…tidak ada agama yang diterima disisiNya melainkan Islam dengan mengikuti para Rasul yang dibangkitkan pada setiap masa sehinggalah nabi akhir zaman iaitu Muhammad SAWlalu mengakhiri semua jalan sebelumnya dan hanya satu sahaja jalan kepadaNya yang tinggal iaitu melalui jalan Nabi Muhammad SAW, sesiapa yang datang selepas kebangkitan Muhammad dan beragama tanpa berada di atas syariat yang ditinggalkan oleh Muhammad maka ia tidak dapat diterima….” (rujuk Al Hafiz Ibnu Kathir: Tafsir ibnu Kathir, j 2 ms 19, Kitab Asya’ab)

Walaupun kepelbagaian itu wujud, ia tidak bermakna menafikan kebenaran Islam dalam kepelbagaian tersebut dan hakikat ini, mengikut perspektif Islam hanya tercapai dengan mengikuti jalan Nabi Muhammad SAW sebagai syarat untuk menerima kebenaran dan hidup dalam kedamaian dengan agama lain.

Ketiga:

Hikmah wujudnya kepelbagaian agama adalah supayai Islam dapat membuktikan dan melaksanakan Rahmatnya melalui interaksi yang penuh dengan kejujuran dan kesopanan. Tanpa suasana kepebagaian ini tidak mungkin ALLAH dapat membuktikan firmannya kepada Nabi Muhammad iaitu:

“Tidak Kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa Rahmat” (Al Anbiya: 107)

Pada waktu dunia di zaman Nabi Muhammad dan sebelumnya mengamalkan penindasan terhadap penganut agama yang berbeza-beza lewat kuasa penjajahan seperti Rom dan Farsi, Islam melalui contoh Muhammad SAW menunjukkan sikap keterbukaan dan toleransi kepada wujudnya pelbagai agama malah melaksanakan dasar hormat menghormati dan mengamalkan kebebasan beragama.

Rasulallah SAW tidak mungkin memberikan contoh unggul bagaimana Islam hidup dalam kepebagaian jika ALLAH tidak memperakui prasyarat kepelbagaian terlebih dahulu. Oleh kerana Islam akan muncul memimpin manusia maka ia perlu membimbing dalam suasana kepelbagaian ini menurut apa yang ALLAH SWT perintah kepada Nabinya untuk dipraktikan.

Keempat:

Ayat Al Quran banyak sekali membicarakan tentang Haq dan Batil, Petunjuk dan Kesesatan, Jalan yang Satu serta Pelbagai Jalan (Subul). Bagi menzahirkan testimoni Allah tentang keesaanNya maka tidak boleh tidak Haq itu perlu terserlah di celah-celah Kebatilan.

Tidak ada jalan untuk menerangkan demikian melainkan ALLAH mewujudkan kepelbagaian supaya Islam nampak terserlah dengan kebenarannya melalui Tauhid yang sebenarnya. Firman ALLAH:

“ Dan katakanlah: "Yang Benar telah datang dan tiba dan yang Batil telah lenyap dan terhapus". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap” (Al Isra’ : 81)

Begitu juga firman ALLAH:

“Dialah yang Telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai” (Al Taubah: 33)

Jelasnya, kemunculan Tauhid yang merupakan asas dan paksi Islam sebagai kebenaran tidak akan dihargai dan dinilai dan dilihat terserlah jika tidak ada perbandingan untuk dibuat penilaian kepada kayu pengukur kebenaran.

Manakala asas segala kesesatan (Batil) ialah mensyirikkan diri dengan ALLAH dalam apa juga bentuknya dan bagi membetulkan kesesatan ini, Tauhid yang dibawa oleh Islam perlu berada di celah kepelbagaian itu untuk dimenangkan bagi mengasaskan pengembalian manusia kepada fitrah asalnya iaitu menyembah ALLAH yang satu.

Ini tidak akan berlaku dalam suasana kepelbagaian tanpa usaha dakwah berterusan melalui dialog, perdebatan yang sehat dan tautan yang bermakna.

Artikel ini dipetik daripada sebahagian draf manuskrip buku terbaru tulisan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berjudul “Rahmat Islam Dalam Kepelbagaian: Pengalaman Malaysia” yang akan diterbitkan pada awal tahun depan.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas. Beliau juga merupakan ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).