BERCANDA DI KAYANGAN FANTASI
Bercanda di atas kayangan fantasi
ada pasanganmu tersangkut di daun kayangan biru
kerana murkanya Sang Pencipta
melanggar syarat cinta luhur di kamar wali agung
untuk bertapa dalam gua hati manusia hitam di bumi maya
di panah sihir sejambak terkulai layu jatuh ke samudera
tumpahlah setitik darah putih
apabila jasad sepanjang hayat tidak makan dan minum
hanya menghirup awan biru bermega kelabu.
Ketika ia berpisah di dua alam itu
hilangnya bau wangi Kasturi
patahnya sepasang kuku emas tercucuk di puncak gunung
lalu menikam sebidang dada sang pentapa
yang tiga purnama tidak merasa kelazatan benda berdarah
hanya santap bunga-bunga di kaki gunung
dalam basahan tekak air embun .
Engkau cenderawasih
jagaan para malaikat kayangannya
jasadnya tidak hancur di makan ulat
walaupun seratus tahun di himpit bumi ini
oleh kerana di makan sumpah
engkau terkulai layu di tangan seorang pawang
tidak berdaya lagi menuju ke kayangan
maka terbanglah kamu mencari diri sendiri
di alam sementa yang satu ini.
Eziz Shukman,
Penjara Kajang,
Selangor.
11/1/2013 ( Jumaat ).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan