Isnin, 10 Mac 2014

PUISI '' BINGKISAN RINDU DI KAMAR LANGIT BIRU ''

BINGKISAN RINDU DI KAMAR LANGIT BIRU.
( Buat Semua Keluarga Mangsa )


                  

Tangan ghaib menyambar rindu kami kepada ayahbonda
dan semua nan tercinta
tiada nan khabar berita walaupun sehelai kata
jika ghaib di langit syahdu tunjukkanlah diri
jika melayang ke lautan biru timbulkanlah jasadnya
jika jatuh ke rimba belantara tunjukkan bangkai burung besi itu
jangan kami ternanti-nanti dalam gundah gelana ini Tuhan-Ku.

Sekalung doa dan syair pasrah kami utuskan kepada-Mu Rabb
telah banyak air mata kasih beradun dalam tangisan tawakal
kuserahkan jiwa dan raga ini
hantarkanlah  bingkisan angin putih yang suci itu
walaupun secarik balam bayang ilusi sudah memadai
kerana remuk hati berulam jantung pahit 
menari-nari tiada berhenti.

Menjelmalah wajah-wajah kesayangan kami Tuhan-Ku
agar mudah untuk kami tempatkan tanda di alam nyata ini
jangan ternanti-nanti bagaikan-
membiarkan nasi dirasakan pasir
air di minum dirasakan racun
mata memandang di rasakan kabur warna alam
hati mencucuk bagaikan duri menikam kalbu.

Sekalung doa qudus hanya dapat kami kalungkan
muga pertukaran itu mendapat keredhaan-Mu Rabb
di persada inilah kami memohon keampunannya 
jika sebesar zarah ada tercalit dosanya 
yang menyebabkan kedukaan-Mu itu
ampunlah dalam setulus rindu ini.

( 10.3.2014 / Isnin ).

Eziz Shukman
Kajang,Selangor

1 ulasan:

  1. KIta doakan semuga semua keluarga mangsa kehilangan pesawat MAS MH 370 itu bersabar dan redha sekiranya apa-apa yg berlaku kepada mereka yg menaiki pesawat itu.Sama-samalah mereka berdoa mengikut agama masing-masing.Semuga mereka ini akan terselamat jika diizinkan Tuhan.

    BalasPadam