Selasa, 13 Mei 2014

KAGUM JASA GURU MENDIDIK ANAK BANGSA KITA.

Kagum jasa guru didik anak bangsa

Oleh Mahaizura Abd Malik
Kuala Lumpur: Walaupun zaman sudah berubah, tetapi ungkapan guru umpama lilin, membakar diri menerangi orang lain masih terpahat kemas hingga kini.
Tugas guru lebih mencabar kini untuk membangunkan murid yang bersedia menghadapi cabaran global masa akan datang, selaras dengan Aspirasi Murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. 

Sesuai dengan Hari Guru yang akan disambut Jumaat ini, jasa dan pengorbanan mereka yang sentiasa kreatif dan inovatif mengajar dan mendidik anak bangsa akan terus tersemat di hati selagi hayat dikandung badan.
Foto
GURU Sekolah Kebangsaan Desa baiduri Cheras bermain catur bersama murid.

Bagi murid Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri Cheras, Selangor, Nurul Husna Hishamudin, 7, guru membentuk keyakinan dalam dirinya yang bermasalah membaca.

“Dulu saya tak pandai membaca, tergagap-gagap, tetapi cikgu Hasnah bagi semangat dan suruh saya jadi lebih berani,” katanya. 

Baginya, cara Hasnah Mat Daud, 50, mengajarnya cara mudah membaca dengan mengeja dan membaca secara berulang membolehkannya menguasai kemahiran itu kini. 

Kisah dorongan guru turut dikongsi rakan sekolahnya, G Reshma, 11, yang kagum dengan cara guru bahasa Inggerisnya, Suzylawati Othman, 39, yang dianggapnya garang tetapi tidak pernah lokek memberi hadiah sebagai galakkan apabila murid mendapat A dalam ujian. 

Murid Tahun Lima Ceria sekolah itu, Oh Ee Ling, 11, juga seronok mengikuti kelas Bahasa Inggeris kendalian, Siti Sarah Rosli, 30, kerana kelakar dan tidak membosankan. 

“Dulu saya tidak suka Bahasa Inggeris kerana susah nak faham tetapi apabila teacher Sarah ajar saya mula minat kerana dia selalu berikan kami fotostat gambar kartun berkaitan dengan topik pembelajaran,” katanya. 

Amsyar Daniel Mohamad Faizal, 8, pula menggemari guru kelasnya Maziah Mokhtar, 32, yang juga mengajar Pendidikan Seni dan Bahasa Melayu. 

“Saya bersemangat ke sekolah kerana cikgu Maziah layan saya macam anak dan mengambil berat keadaan saya terutama apabila sakit,” katanya. 

Kata-kata sama dikongsi Dhia Dol Razlan, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Keramat yang cukup mengagumi kesungguhan guru Bahasa Melayu, Hafiz Che Mat, 45, sejak Tingkatan Satu. 

“Saya anggap cikgu Hafiz seperti bapa. Saya sangat hargai jasanya pada kami, tak terbalas walaupun setiap tahun saya beri hadiah hari guru padanya,” katanya. 

Rakan sekolahnya, Amzar Ikram Khamsani, 17, pula menggemari subjek Sejarah selepas guru mata pelajaran itu Bahiyah Jaafar, 40, menggunakan pendekatan mengurangkan jurang antara guru dan pelajar. 

“Selepas tamat kelas, saya dan rakan akan bertemu dengannya di bilik guru untuk berbincang apa yang tidak jelas, dia umpama ibu,” katanya. 

Sementara itu, Asha Aditi Arun, 14, pula kagum dengan guru kesusasteraan Inggerisnya, Tan Wan Ying, 44, yang menganggap pelajar seperti kawan dan sangat kreatif mengajar dengan menggunakan multimedia dan video. 

“Jika tahu saya bermasalah, dia adalah orang pertama yang akan bagi nasihat dan sokongan di sekolah ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan