Jumaat, 19 Ogos 2016

AYAH DATUK CHONG WEI JANGKA ANAKNYA AKAN DAPAT PINGAT EMAS DI SUKAN BADMINTON OLIMPIK RIO 2016.

Ayah Chong Wei positif emas dalam genggaman anaknya

Ayah Chong Wei positif emas dalam genggaman anaknya
AH CHAI: Sangat berbangga dengan pencapaian anaknya.
GEORGE TOWN: Ayah kepada Datuk Lee Chong Wei, Lee Ah Chai positif anaknya mampu meraih pingat emas setelah beliau berjaya menewaskan musuh tradisinya, Lin Dan dalam pusingan separuh akhir badminton perseorangan lelaki di Rio de Janeiro hari ini.

Beliau yang berbangga dengan pencapaian Chong Wei berharap pemain nombor satu negara itu terus fokus dan memastikan perhatiannya tidak terganggu untuk menghadapi perlawanan akhir esok.

"Beliau bermain dengan baik malam ini meskipun melakukan kesilapan di set pertama, namun beliau bangkit semula di set kedua. Sudah semestinya sebagai ayah, saya sangat berbangga dengan pencapaian beliau," katanya ketika dihubungi Bernama selepas tamat perlawanan itu.

Chong Wei berjaya memusnahkan impian Lin Dan untuk mara ke pusingan akhir badminton perseorangan lelaki apabila menewaskannya dalam rubber set 15-21, 21-11 dan 22-20.

Pusingan akhir badminton perseorangan lelaki yang akan berlangsung esok akan menyaksikan Chong Wei bertemu Cheng Long dari China.

Ah Chai turut berterima kasih atas sokongan berterusan seluruh rakyat Malaysia dan berharap anaknya dapat menggalas harapan tersebut dan membawa pulang pingat emas buat negara.

Terdahulu, seramai 500 orang hadir untuk menyaksikan secara langsung perlawanan separuh akhir tersebut di Gurney Paragon, di sini yang disediakan satu skrin besar oleh Hunza Properties.
Bagi Lim Lee Peng, 39, yang turut hadir berkata beliau sangat berbangga dengan corak permainan Chong Wei dan akui Lin Dan adalah pemain badminton yang sangat hebat.

"Lin Dan bukanlah pemain yang calang-calang dan Chong Wei telah berjaya menewaskannya, meskipun sukar. Sebagai rakyat Malaysia, kami sangat berbangga dengan beliau. Selamat berjuang di final nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan